Thursday, May 07, 2020

Kepentingan Selawat Ke atas Nabi Muhammad s.a.w

  No comments    
categories: 
Selawat ke atas Nabi Muhammad amat ditekankan dalam kehidupan seharian.


Kenapa? Apa kepentingan Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w ?


Kita manusia sangat memerlukan syafaat apabila dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak. Tiada seorang manusia pun yang terlepas daripada melakukan dosa kecuali Nabi Muhammad SAW.

Syafaat bererti memohon pertolongan pada saat memasuki syurga Allah SWT. Ada beberapa syafaat yang boleh diperoleh manusia dan salah satunya adalah syafaat daripada Nabi Muhammad s.a.w

Di Padang Mahsyar nanti keadaannya amatlah dahsyat apabila seluruh manusia akan duduk dalam keadaan bersesak-sesak, berdiri dalam keadaan telanjang dengan matahari terpacak tegak di atas kepala.

Dan pada ketika itulah, semua manusia merayu-rayu pertolongan daripada Allah s.w.t.

Bagaimana hendak mendapatkan syafaat agung itu?

Antaranya ialah dengan mencintai Nabi Muhammad s.a.w dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda.

Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Maksudnya: Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.

Jaminan syafaat daripada Nabi SAW itu adalah dengan berselawat sebanyak 10 kali pada waktu pagi dan petang.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat Tabrani)


Selain meraih syafaat Nabi, kenapa berselawat itu amat ditekankan dalam kehidupan seharian?

Ini antara kepentingan Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

1. Ia merupakan Perintah Allah s.w.t


Anjuran untuk berselawat adalah sesuatu yang dirakamkan di dalam Al-Quran.

Dalam surah Al-Ahzab ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T. dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.”

Berselawat ke atas nabi adalah salah satu cara kita menurut perintah Allah di samping mengingati segala jasa baginda dalam memperjuangkan Islam serta peribadinya yang unggul.


2. Allah Membalas Selawat HambaNya


Allah mengasihi hambaNya yang sentiasa meletakkan  Rasulullah di dalam hati.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [HR Muslim]

Jika kita berzikir dan berselawat dengan memohon supaya Allah melimpahkan kemuliaan, kehormatan, dan kepujian kepada Nabi Muhammad, Allah pula membalas selawat kita dengan cara menurunkan rahmat, berkat serta kemuliaan kepada kita.


3. Memberi Ketenangan Hati


Selawat adalah jaminan terpelihara dan terselamatnya kita daripada segala apa yang mendukacitakan dan membimbangkan dari perkara dunia dan akhirat.


4. Diampunkan Dosa


Allah amat menyenangi hambaNya yang sentiasa mengingati Nabi Muhammad serta menghidupkan sunnahnya dalam kehidupan seharian. Allah turut menjanjikan pengampunan dosa bagi hambaNya yang rajin berselawat kepada Rasulullah.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [HR An-Nasaie]


5. Rasulullah Membalas Ucapan Salam


Berselawat ke atas Nabi menghidupkan rasa kerinduan terhadap Nabi sama seperti Nabi yang sentiasa kasih akan kita iaitu umat selepas zamannya.

Selawat merupakan cara istimewa buat umat Nabi Muhammad menyampaikan kata salam dan doa kepada Baginda. Setiap selawat yang dialunkan akan dikirimkan ke Rasulullah melalui malaikat. Rasulullah pula membalas ucapan salam tersebut.


6. Doa Mudah Diterima


Ali bin Abi Talib r.a berkata : “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.” [HR Imam Ath-Thabrani]


Jom hidupkan Sunnah!


Semoga usaha kita mengingati Rasulullah dengan sentiasa mengalunkan selawat dapat mendekatkan diri kita bersama dengan Nabi Muhammad kelak serta turut mendapat syafaat serta rahmat daripada Allah.


0 comments:

Post a Comment