Friday, May 03, 2013

Posisi Tidur Terbaik Semasa Hamil

  No comments    
categories: 

Pada trimester pertama iaitu di awal kehamilan, anda dapat tidur dengan lena tanpa ada sebarang gangguan kerana perut belum lagi membesar. Malah posisi tidur pun boleh dipelbagaikan tanpa banyak halangan. Namun, apabila anda masuk ke trimester kedua dan ketiga, maka saat itulah tidur anda mula terganggu oleh kerana saiz perut yang semakin membesar, pergerakan bayi yang semakin aktif mahupun masalah kekejangan kaki yang sering dialami semasa hamil.


Setakat ini belum ada penyelidikan lebih lanjut yang dilakukan berkaitan posisi tidur untuk wanita hamil. Walau bagaimanapun, pakar perubatan sangat menggalakkan anda untuk tidur secara mengiring terutamanya selepas minggu ke-16 kehamilan.

Dalam pada itu, sebaik-baiknya mengiring ke sisi kiri kerana posisi sebegini memastikan bayi mendapat aliran darah yang lebih lancar. Ia disebabkan inferior vena cava di bahagian belakang sebelah kanan tulang belakang mengembalikan darah dari tubuh bahagian bawah ke jantung. Dengan mengiring ke kiri, ia turut membantu buah pinggang menjalankan aktiviti perkumuhan dengan baik lalu mengurangkan masalah pembengkakan di bahagian kaki, pergelangan kaki dan tangan.

Tidur dengan posisi mengiring ke kanan juga baik. Jadi, anda boleh mengubah posisi ke kanan dan ke kiri agar tidur lebih selesa. Bagi yang kekok untuk tidur dalam posisi sebegini, ada baiknya mula membiasakan diri sejak di awal kehamilan lagi. Bagi mendapatkan tidur dengan posisi mengiring yang lebih selesa, anda boleh meletakkan bantal di antara paha dan di punggung. Anda juga boleh menggunakan bantal tidur yang disediakan khusus untuk ibu hamil.

Selepas hamil 16 minggu, anda tidak lagi digalakkan untuk tidur secara menelentang. Hal ini disebabkan anda akan meletakkan seluruh berat rahim ke bahagian belakang, usus dan iinferior vena cava. Tidur dalam keadaan posisi terlentang juga akan meningkatkan risiko sakit pinggang, buasir, menjejas sistem pencernaan, menyukarkan pernafasan dan mengganggu peredaran darah.

Selain itu, ia turut mempengaruhi tekanan darah. Ada segelintirnya mengalami penurunan tekanan darah hingga menyebabkan masalah pening kepala. Tidak kurang, ada juga yang mengalami peningkatan tekanan darah. Oleh kerana itu, jika anda mempunyai tekanan darah tinggi ketika hamil, posisi ini sama sekali tidak boleh dipraktikkan.

Bagi yang tiada komplikasi pula, anda masih boleh sekali-sekala tidur terlentang, tetapi jangan terlalu lama. Jika ingin bangun dari tidur secara terlentang pula, dinasihatkan agar tidak melakukannya secara mendadak.


Panduan Atasi Masalah Tidur

1. Posisi tidur mengiring ke kiri
Memandangkan posisi tidur terbaik yang disyorkan sepanjang hamil ialah tidur mengiring ke kiri maka, usahakan untuk tidur dalam posisi ini setiap malam.

2. Mandi air suam
Sebelum tidur, mandi dengan air suam. Rasa segar yang bangkit akan memudahkan anda lena.

3. Elak makan terlalu banyak sebelum tidur
Anda mungkin kerap berasa lapar walaupun ketika sudah tiba masa untuk tidur. Untuk itu, hindari daripada makan terlalu banyak. Alternatifnya, anda boleh mengambil makanan ringan yang lebih berkhasiat.

4. Minum Susu Suam
Kandungan asid amino tryptophan di dalam susu yang meningkatkan kadar serotonin ke dalam otak akan membantu anda untuk tidur nyenyak.

5. Amalan Tarik Nafas
Latihan menarik nafas yang teratur dapat membantu mengurangkan ketegangan otot sekali gus membantu anda untuk tidur lebih baik. Dalam keadaan duduk, berdiri atau berbaring, tarik nafas melalui hidung secara perlahan dan tahan nafas selama satu hingga dua saat. Kemudian hembus dan keluarkan nafas melalui mulut secara perlahan-lahan. Lakukannya dalam ulangan 10 kali.

6. Bersenam
Senaman yang dilakukan secara teratur dapat mengurangkan masalah kekejangan kaki. Namun, adalah tidak digalakkan untuk anda bersenam beberapa jam sebelum tidur kerana endorfin dan adrenalin yang dirembeskan akan membuat mata anda kekal berjaga.

7. Bantal Yang Menyangga
Sangga perut mahupun pinggang dengan bantal bersesuaian. Ia akan membantu ibu tidur yang selesa dan nyenyak...

sumber pa&ma

0 comments:

Post a Comment